Apa Itu Integriti? Maksud Integriti
Apa itu Integriti
Apa itu integriti? Di mana-mana sahaja sering dibualkan
tentang kurangnya integriti di kalangan orang ramai, pekerja di sektor awam dan
swasta, organisasi hatta mereka di kampung juga tidak terkecuali. Masing-masing
sibuk bercakap tentang integriti. Jadi apakah maksud sebenar integriti ini?
Secara ringkasnya, integriti boleh dibincangkan kepada dua
bahagian iaitu, pertama bersabit dengan individu; kedua integriti di peringkat
organisasi. Namun begitu, pada umumnya integriti merujuk kepada himpunan
kualiti unggul yang wujud di kalangan individu dan kualiti ini berteraskan
kepada prinsip berpegang teguh kepada kejujuran dan amalan bermoral tinggi.
Di peringkat individu, integriti ialah keselarasan di antara
tindakan dengan prinsip moral, etika dan undang-undang; serta keselarasan di
antara kepentingan diri dengan kepentingan umum. Sementara itu di peringkat
organisasi tercermin dalam perumusan dan perlaksanaan kod etika, piagam
pelanggan atau sistem dan proses kerja serta pematuhan kepada amalan terbaik.
Kod etika berkenaan ditegaskan, diulangi dan dihayati oleh anggota organisasi
berkenaan sehingga menjadi kebiasaan dan akhirnya menjadi budaya organisasi
(corporate culture).
Secara idealnya integriti sama ada di peringkat individu
ataupun organisasi bermaksud 'code of behavior'. Jika semua orang melaksanakan
kod ini dengan baik mengikut lunas-lunas yang ditetapkan oleh agama dan
masyarakat bertamadun, nescaya sebuah masyarakat atau negara itu akan maju dan
bertamadun. Soalnya, mengapa integriti ini sukar dicapai?
Terdapat banyak kes yang menjadi bukti mengapa integriti
sukar dicapai malah masalah tiada integriti masih menjadi masalah utama kepada
negara. Kita sering mendengar bagaimana seorang penjawat awam mahupun swasta
menerima rasuah untuk memudahkan sesuatu proses yang melibatkan kepentingan
umum. Rasuah untuk mendapatkan tender, rasuah untuk memotong barisan, rasuah
untuk mengelak dari dikenakan hukuman dan macam-macam lagi. Pada satu tahap
amalan tidak berintegriti seperti memberi dan menerima rasuah ini, seakan-akan
sudah menjadi sebahagian dari budaya yang diamalkan oleh sebilangan ahli
masyarakat.
Sebenarnya, kita tidak perlu melihat terlalu jauh atau besar
tentang masalah tiadanya integriti. Tidak perlu sangat untuk kita bincang
bagaimana rasuah telah menjadi barah kepada si polan itu atau si polan ini.
Sebelum kita membincangkan tentang masalah integriti di kalangan orang lain,
elok kita halusi diri kita sendiri. Dalam masa 24 jam, berapa kali kita mandi
sehari, berapa kali kita memberus gigi, membersihkan bilik tidur, melakukan
ibadat, membaca buku, menyiapkan tugasan, bertanya khabar ibu bapa, sahabat,
rakan, dan macam-macam perkara lain yang kita anggap remeh. Anda tahu
jawapannya.
Secara ringkasnya, integriti ini merujuk kepada cara kita
bertingkah laku. Apakah tujuan kita melakukan itu dan ini? Bagaimana dengan
niatnya? dan lebih penting ialah cara atau kaedah untuk mencapai tujuan dan
niat itu mestilah dilakukan dengan betul. Maksud betul ialah mengikut ajaran
agama dan mematuhi undang-undang.
Sumber: develop-tutor.blogspot.com
Makna Intergriti dari Wikipedia
Integriti sebenarnya berasal dari istilah bahasa Inggeris
yang membawa erti keutuhan dari semua segi yang baik. Dalam bahasa Melayu, ia
biasanya menjurus kearah perwatakan seseorang. Maksud integriti mengikut Kamus
Dwibahasa DBP, 1985, ialah kejujuran dan ketulusan; kesempurnaan; keutuhan.
Dari maksud yang didapati dari Kamus di atas, integriti
adalah sifat jati diri yang merangkumi juga keikhlasan, keterbukaan, ketelusan,
amanah, benar, berpegang kepada prinsip, tidak mudah dipengaruhi, boleh
dipercayai, boleh pegang cakapnya, dll.
Sumber: KamalMustafa.com
No comments:
Post a Comment